comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 65,000 motosikal diperiksa JPJ dalam seminggu, 35% tiada insurans

Lokman (tengah) pada sidang media selepas Operasi Khas Motosikal 2023 di Jalan Sultan Idris Shah, malam tadi. – FOTO: NSTP

IPOH: Sebanyak 33,092 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), manakala 1,516 motosikal disita sepanjang seminggu Operasi Khas Motosikal 2023 dijalankan di seluruh negara bermula awal bulan ini.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, jumlah itu dicatatkan menerusi pemeriksaan ke atas 64,980 motosikal sepanjang operasi bermula 1 hingga 7 September lalu.

Beliau berkata, kes tiada perlindungan insuran mencatatkan peratusan tertinggi kesalahan iaitu sebanyak 35 peratus atau 11,445 notis daripada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan; disusuli kesalahan tiada lesen memandu dengan 9,456 kes (29 peratus), selain ubah suai ekstrem (1,315 notis) dan pelbagai kesalahan lain (32 peratus).

“Ini menunjukkan kesedaran dan sikap pengguna jalan raya dalam tempoh seminggu operasi atau audit ini didapati belum berubah, justeru operasi sebegini akan diteruskan sehingga hujung bulan ini.

“Tiada perlindungan insurans ini juga satu kesalahan sangat serius kerana jika berlaku kemalangan, bayaran tuntutan sama ada oleh pemilik kenderaan mahupun pihak ketiga tidak boleh dibuat. Insurans bukan saja melindungi mereka, sebaliknya melindungi pengguna jalan raya yang lain,” katanya selepas meninjau pelaksanaan operasi itu di Jalan Sultan Idris Shah, di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Operasi melalui sekatan jalan raya (SJR) dan ‘snapcheck’ yang dibuat secara bersepadu bersama agensi lain antaranya polis, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebabangsaan (AADK) itu membabitkan penyertaan 85 pegawai dan anggota.

Dalam operasi itu, seorang penunggang motosikal ditahan selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor miliknya sudah tamat tempoh sejak tujuh tahun lalu iaitu sejak 2016, sekali gus menunjukkan motosikal berkenaan tidak dilindungi insurans.

Operasi Khas Motosikal 2023 dijalankan selama sebulan iaitu sehingga 30 September ini di seluruh negara ke arah membudayakan pematuhan undang-undang dan memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan jalan raya melalui pendekatan audit pematuhan.

Lokman berkata, lapan kesalahan menjadi fokus pihaknya menerusi operasi itu iaitu melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), tidak memakai topi keledar, ubah suai kenderaan secara ekstrem, lumba haram, melawan arus, tiada lesen memandu, tiada LKM atau tamat tempoh, tiada insurans,dan kesalahan teknikal lain.

Mengulas pengubahsuaian ekstrem motosikal, Lokman berkata, antara perkara sering dilakukan adalah membuang brek belakang motosikal bagi meringankan berat motosikal supaya membolehkan ia bergerak lebih laju, selain ubah suai kapisiti seseran (cc) enjin.

“Kapasiti enjin turut diubah supaya kelajuan bertambah yang biasanya membabitkan motosikal berkuasa rendah iaitu 250cc ke bawah diubah hingga kelajuan maksimum yang biasanya antara 130 hingga 135 kilometer sejam (km/j) dan boleh menjangkau sehingga 200 km/j.

“Dengan keadaan motosikal yang seseran (cc) kecil, memang tidak sesuai dengan kelajuan ditingkatkan sebegitu, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut,” katanya.

Loading...
Terkini