KUALA LUMPUR: Seramai 4,841 mangsa banjir daripada 1,490 keluarga ditempatkan di 40 Pusat Penempatan Sementara (PPS) setakat pagi ini, berikutan banjir yang melanda di tujuh negeri.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir paling ramai adalah di Kedah, iaitu seramai 1,262 orang daripada 12 keluarga, yang ditempatkan di 12 PPS di empat daerah terjejas.
Ia diikuti di Pahang (1,352 mangsa di tujuh PPS), Perak (1,262 mangsa di 11 PPS), Melaka (208 mangsa di empat PPS), Johor (199 mangsa di empat PPS), Sarawak (105 mangsa di satu PPS) dan Selangor (33 mangsa di satu PPS).
Mangsa terdiri daripada 1,744 lelaki dewasa, 1,697 wanita dewasa, 713 kanak-kanak dan bayi lelaki serta 687 kanak-kanak dan bayi perempuan.
Daripada jumlah itu, 686 orang ialah warga emas dan 84 orang ialah Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), pagi ini, mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di semua negeri di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor.
Dalam kenyataan di portal X, amaran itu dikeluarkan membabitkan Perlis, beberapa daerah di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang manakala di Perak ialah Kerian, Larut. Matang, Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berdepan musim banjir akibat ketidaktentuan cuaca semasa, selain musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
Katanya, semua pegawai dan anggota itu akan menjalankan tugas masing-masing dengan sokongan sebanyak 37,127 unit pelbagai aset.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.