KUALA LUMPUR: Seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, jumlah itu diperolehi daripada data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM).
Tambah beliau, pada tahun 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran.
“Kementerian sedang melaksanakan rancangan pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pendidikan di samping melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan minat untuk kerjaya masa depan,” katanya.
Selain itu, guru kaunseling juga telah diberi taklimat mengenai trend kerjaya terkini memandangkan peranan mereka dalam menasihati pelajar sekolah menengah tentang laluan kerjaya masa depan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Parlimen hari ini.
Wee bertanya kepada Kementerian Pendidikan berapa ramai pelajar yang mengambil SPM antara tahun 2020 hingga 2022 memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran dan langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk menggalakkan pelajar mengatasinya.