comscore
Tumpuan :
Bencana

[VIDEO] Hampir 40,000 penduduk terjejas banjir di Johor

Keadaan banjir yang melanda berikutan hujan yang berterusan dan paras air sungai yang semakin meningkat di Kota Tinggi, Johor. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Seramai 37,322 penduduk terjejas banjir di sembilan daerah di Johor, setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu melibatkan 10,793 keluarga yang ketika ini ditempatkan di 238 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat berterusan di hampir semua daerah sejak tengah hari semalam menyebabkan jumlah mangsa banjir negeri ini terus meningkat.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, walaupun daerah terjejas banjir di Johor berkurangan kepada sembilan susulan keadaan yang semakin pulih di Kulai, peningkatan mangsa di Segamat serta Batu Pahat amat signifikan.

Katanya, Segamat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan mangsanya melonjak kepada 13,358 mangsa daripada 3,921 keluarga di 77 PPS.

“Batu Pahat mencatatkan lonjakan mangsa terjejas dengan amat tinggi apabila ia naik kepada 7,368 mangsa banjir daripada 2,136 keluarga di 43 PPS.

“Ia diikuti Muar dengan mangsa banjirnya turut melonjak kepada 3,300 mangsa daripada 969 keluarga di 19 PPS. Mangsa banjir di Kota Tinggi pula menurun kepada 3,292 mangsa daripada 882 keluarga di 20 PPS.

“Tangkak pula mempunyai seramai 2,651 mangsa banjir daripada 754 keluarga di 23 PPS. Mangsa banjir di Johor Bahru pula menurun kepada 699 penduduk daripada 226 keluarga di lima PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Mersing pula mencatatkan mangsa banjir seramai 964 orang membabitkan 280 keluarga di lapan PPS.

Katanya, Pontian pula mempunyai 699 mangsa banjir daripada 226 keluarga di lima PPS.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan berterusan tahap buruk di tujuh daerah iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Timggi dan Johor Bahru sehingga hari ini.

“Namun setakat jam 8 pagi ini, semua 10 daerah negeri ini mengalami hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih banyak kawasan bakal terjejas banjir,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak 16 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat jam 8 pagi ini.

Katanya, ia membabitkan masing-masing lima di Batu Pahat, empat di Segamat, tiga di Muar serta masing-masing satu di Tangkak, Kluang dan Kota Tinggi.

“Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok terus mencatatkan paras melebihi tahap bahaya di 20.30 meter, diikuti Sungai Bekok di bandar Yong Peng turut melepasi tahap bahaya 3.48 meter.

“Sungai Simpang Kiri di Seri Medan turut melepasi tahap bahaya di paras 2.64 meter manakala Empangan Sembrong di Sungai Sembrong mencatatkan paras bahaya 12.38 meter,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini