comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 400 PATI ditahan naik kenderaan, bas pekerja 

PUTRAJAYA: Lebih separuh daripada 600 warga asing yang diperiksa di Putrajaya ditahan selepas didapati menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua mereka dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan awal pagi tadi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi itu membabitkan kekuatan seramai 110 orang pegawai imigresen daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dengan disertai 40 orang pegawai JPJ.

“Dalam operasi ini seramai 600 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 377 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berumur diantara 25 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu 250 orang merupakan PATI perempuan dan127 orang PATI lelaki yang kesemuanya terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah.

“Lokasi serbuan yang dijalankan adalah di sekitar jalan Putrajaya.

“Terdapat 2 checkpoint pemeriksaan oleh JPJ dan JIM di jalan utama untuk masuk ke Putrajaya dari arah Kajang dan Bangi,” ujarnya lagi.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini