SUNGAI BULOH: Hampir 3,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Sungai Buloh yang dianjurkan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), mencerminkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.
Orang ramai mula berkumpul di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh seawal 10 pagi, menandakan sambutan hangat terhadap acara tahunan itu kali ini.
Bagi warga emas dari Rawang, K. Marimuthu, 69, yang hadir bersama isteri dan rakan-rakannya, majlis ini adalah peluang bermakna untuk berkumpul dan menikmati hidangan istimewa.
“Setiap tahun saya datang kerana makanannya memang enak dan ini peluang untuk berjumpa rakan dan saudara yang lama tidak bertemu,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui Bernama.
Bagi Anita Helmi, 41, seorang penduduk Sungai Buloh yang hadir bersama suami dan anak, ini adalah pengalaman pertama beliau dan keluarga menghadiri rumah terbuka masyarakat India dan teruja dengan kepelbagaian juadah seperti tosei, naan, dan nasi beriyani.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata lebih 2,500 pengunjung dari dalam dan luar Sungai Buloh hadir memeriahkan majlis tersebut.
“Inilah semangat MADANI yang kita terapkan – perpaduan dan kerjasama pelbagai kaum. Lebih istimewa, hidangan pada hari ini disediakan oleh peniaga tempatan, membolehkan orang ramai menikmati hasil tangan mereka,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh dan Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.