Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Hampir 3,000 organisasi dan lebih 565 ribu pekerja telah menunjukkan minat untuk melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan mahu mewujudkan persekitaran kerja kondusif bagi mengurangkan isu seperti kesihatan mental.
“Undang-undang sudah ada garis panduan sudah ada. Jadi kita ingin menggalakkan lebih ramai syarikat untuk melaksanakannya. Saya tidak ada angka untuk sasaran pada hari ini tapi kita akan mulakan kempen kita untuk merancakkan Aturan Kerja Fleksibel ini di bandar bandar besar khususnya contohnya di Pulau Pinang, Lembah Klang dan di Johor,” kata beliau pada majlis pelancaran Garis Panduan AKF.
Katanya, negeri berkenaan dipilih kerana merupakan tumpuan syarikat-syarikat termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Banyak juga Sumber Manusia (HR) organisasi yang berkata mereka ingin melaksanakan AKF tapi tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Mereka takut juga, adakah ia bercanggah dengan kontrak? Adakah ia melanggar undang-undang Akta Kerja? sebagai contoh.”tambahnya.
Justeru kata beliau, bengkel-bengkel bersama dengan garis panduan yang baharu dilancarkan itu akan memberi maklumat dengan lebih terperinci kepada syarikat dan juga pekerja supaya mereka ada pemahaman tentang bagaimana untuk melaksanakannya secara hakiki di organisasi mereka.
Garis panduan ini, antara lain menghuraikan takrifan AKF, kaedah melaksanakannya, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan tanggungjawab majikan.
Beliau turut berharap dengan pelaksanaan AKF juga boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas apabila waktu kerja lebih anjal diberikan.
Dalam pada itu, Talent Corp, agensi di bawah KESUMA akan menjalankan kajian selama enam bulan bagi melihat kesan pelaksanaan AKF terhadap syarikat termasuk produktiviti.
“Kita ada laporan antarabangsa yang menyatakan produktiviti tidak terjejas tetapi untuk KESUMA kita juga ingin melihat dalam konteks Malaysia.” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.