Oleh: Afrina Romzi dan Izabelle Choong
PUTRAJAYA: Hampir 2,000 syarikat kerajaan akan diaudit menerusi sistem yang menggunapakai kecerdasan buatan (AI), e-SelfAudit tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem e-SelfAudit yang dibangunkan menerusi Projek Pendigitalan Jabatan Audit Negara (JAN) itu dilaksana tanpa implikasi kos tambahan.
“Apabila kita menyebut tentang reformasi institusi, ikhtiar ini relevan, penting kali pertama kita jurus kepada syarikat agensi.
“Maknanya prinsip di mana badan termasuk ahli politik atau ahli parlimen, syarikat yang mendapat dana dari kerajaan, maka pertanggungjawaban itu secara telus harus dilakukan,” katanya pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan, hari ini.
Inisiatif inovatif Sistem e-SelfAudit ini membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan, merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berhad menurut jaminan (CLBG).
Langkah ini dalam memastikan fungsi “semak dan imbang” terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti pengurusan wang awam negara.
Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang berkuat kuasa pada 1 November tahun lalu.
Pindaan ini memberikan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan pengauditan ke atas keseluruhan badan lain termasuk syarikat kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.