comscore
Tumpuan :
Nasional

Hampir 200 aduan pokok tumbang di Pulau Pinang dalam tempoh tiga hari

FOTO: Ihsan JBPM

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerima hampir 200 aduan pokok tumbang, termasuk membabitkan rumah dan kenderaan di beberapa lokasi di negeri itu akibat kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh tiga hari setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengambil maklum amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung ramalan cuaca ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini sehingga esok.

“Pada hari pertama iaitu Ahad lalu, kita menerima aduan pokok tumbang berikutan angin kencang di 90 lokasi, termasuk membabitkan rumah di tiga lokasi selain lapan kenderaan di enam lokasi di bahagian pulau.

“Pada hari kedua, kita terima laporan di sembilan lagi lokasi serta membabitkan dua rumah yang dihempap dahan tumbang. Sebahagiannya sudah diuruskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan proses membersihkan tapak masih berjalan di beberapa lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Kompeleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini.

Kon Yeow berkata, sejumlah 43 laporan pokok tumbang diterima hari ini di bahagian pulau dan 30 aduan lagi diterima di kawasan Seberang Perai akibat angin kencang dan hujan lebat yang melanda hampir seluruh kawasan Pulau Pinang sejak jam 5 pagi hingga kira-kira 9 pagi tadi.

Katanya, petugas MBPP tiba di 39 lokasi kejadian setakat jam 12 tengah hari tadi selain petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut giat melakukan kerja pembersihan di semua lokasi demi memastikan keselamatan orang ramai.

“Taburan hujan lebat direkodkan mencecah 110 milimeter per jam sehingga berlaku banjir kilat membabitkan 43 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 28 kawasan di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Situasi banjir ini masih dipantau MBSP dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa. Kita akan tunggu laporan lebih lengkap berhubung kejadian yang berlaku hari ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini