comscore
Tumpuan :
Nasional

Halang laluan ambulans, pemandu Triton diminta tampil 

Foto tular

KOTA BHARU: Seorang pemandu pikap yang dipercayai menghalang laluan ambulans di persimpangan Padang Lembek, Ketereh, di sini, diminta hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pemandu ambulans juga diminta tampil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ia susulan satu rakaman video berdurasi 46 saat tular di aplikasi TikTok yang memaparkan pemandu pikap Mitsubishi Triton menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali, jam 7 malam tadi.

“Pihak polis meminta pemandu pikap dan pemandu ambulans yang terbabit hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Bharu.

“Tindakan terhadap pemandu Mitsubishi Triton boleh diambil mengikut Kaedah 9(2) LN166/59 iaitu tidak memberi laluan kepada ambulans.

“Tindakan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas yang menekankan kerjasama, berhemah dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kota Bharu, Asisten Superintendan Boon Chun Yee di talian 09-7752200 atau tampil ke IPD Kota Bharu atau balai berdekatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini