SHAH ALAM: Mengejar masa kerana bimbang terlepas penerbangan ke luar negara, menjadi alasan pemandu kereta yang dipercayai menghalang laluan ambulans membawa pesakit ke Hospital Banting, malam kelmarin,
Klip video kejadian daripada rakaman ambulans berkenaan sepanjang 58 saat turut dimuat naik di akaun Facebook pemandu ambulans itu.
Rakaman itu memaparkan pergerakan ambulans dihalang Toyota Corolla Cross di Jalan Klang-Banting dari arah Jenjarom menghala Banting yang mana pemandunya kekal di lorong kanan walaupun pemandu ambulans membunyikan hon dan menggunakan pembesar suara meminta diberi laluan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata susulan video berkenaan, polis memanggil pemilik akaun Facebook yang juga pemandu ambulans, seorang lelaki tempatan yang berusia 30-an untuk memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati, kejadian pada jam 9.45 malam 18 Disember lalu yang mana ambulans dipandu dari arah Klinik Kesihatan Jenjarom menghala Hospital Banting.
“Menurut laporan pemandu, ambulans berkenaan memasang lampu mentarah (beacon light) dan siren untuk penugasan kecemasan membawa pesakit ke Hospital Banting.
“Bagaimanapun, pemandu Toyota Corolla Cross yang bergerak di hadapan ambulans tidak memberi laluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata, pemandu dan pemilik Toyota Corolla Cross itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.
“Pemilik adalah bapa pemandu berusia 20-an dan bapa pemandu itu ditahan jam 11.30 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati, pemandu Toyota Corolla Cross berkenaan dikatakan mengejar masa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana bimbang terlepas penerbangan ke China.
“Siasatan juga mendapati, pemandu Toyota Corolla Cross yang berumur 20an kini berada di luar negara,” katanya.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor S Taneswaran (Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 012-6708561 atau 03-31872222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.