LANGKAWI: Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan bermula esok dijangka menetapkan hala tuju perbincangan ketua negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan pada Mei dan Oktober depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata AMM ini merupakan permulaan kepada siri mesyuarat ASEAN yang kini dipengerusikan oleh Malaysia.
Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN pula akan diadakan esok sebagai langkah awal dalam rangkaian pertemuan tersebut.
Jelasnya, sebarang keputusan pada mesyuarat peringkat pegawai kanan kerajaan akan dibawa ke peringkat menteri untuk perbincangan lanjut.
“Di situ nanti kami menteri-menteri akan berbincang dan membuat cadangan serta memanjangkan apa yang telah dipersetujui di peringkat menteri untuk dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN.
“Pemukiman kami ini penting kerana ini mesyuaratnya untuk mencorakkan hala tuju sepanjang kepengerusian, tapi yang paling penting Malaysia adalah Peneraju Utama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Visi Komuniti ASEAN (HLTF-ACV),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang menjadi lokasi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di sini, malam ini.
Mohamad berkata, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pada hari kedua mesyuarat berkenaan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat yang akan diadakan.
Mengulas mengenai persiapan logistik sepanjang AMM, beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan terutamanya sistem keselamatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (LICC) yang menjadi lokasi utama pertemuan delegasi.
“Saya berharap kita dapat beri keselesaan untuk semua pihak dan apa yang disediakan ini mencapai tahap yang baik.
“Ini kerana bukan sahaja kita menerima tetamu dalam negara tetapi ramai tetamu dari luar dan ini akan memastikan kita perlu bersedia dengan baik dari segi logistiknya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.