Tumpuan :
Nasional

Hala tuju pelaksanaan sistem tol MLFF akan dibawa ke Kabinet Januari depan

Foto hiasan

PUCHONG: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membawa Kertas Jemaah Menteri mengenai hala tuju pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) ke Kabinet pada Januari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu diambil susulan kementerian itu sudah mengeluarkan surat kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terbabit dalam projek MLFF bahawa rundingan terbabit tidak akan diteruskan.

“(Proses rundingan) tidak diteruskan kerana hari ini (semalam) adalah hari akhir, maka kita sudah mengeluarkan surat pada syarikat berkaitan untuk tidak meneruskan rundingan.

“Jadi KKR akan menyediakan dan mengangkat kertas Majlis Jemaah Menteri berhubung hala tuju MLFF kepada Kabinet bulan depan (Januari 2025) untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek pembinaan tapak simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Markas SMART, Pulau Meranti, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak dan Komander SMART Penguasa Kanan Bomba, Mohd Khairul Jamil.

Pada 11 Disember lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan halangan utama pelaksanaan sistem MLFF adalah kesukaran memuktamadkan struktur tadbir urusnya.

Nanta Linggi berkata berkata, proses itu membabitkan banyak pihak terutama mendapatkan persetujuan daripada semua syarikat konsesi yang terbabit selain berdepan cabaran bagi merangka rang undang-undang (RUU) bagi pelaksanaan sistem berkenaan.

Sebelum ini, Nanta Linggi mengakui terdapat kira-kira 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem MLFF.

Untuk rekod, kerajaan melalui KKR berhasrat memperkenalkan MLFF iaitu konsep plaza tol tanpa palang dalam usaha menambah baik sistem kutipan tol sekali gus melancarkan transaksi pembayaran tol.

Melalui sistem itu, pengguna tidak perlu lagi memberhentikan atau memperlahankan kenderaan ketika membuat bayaran tol seperti dilaksanakan di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini