Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Anak bekas Ketua Polis Negara (KPN) Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohamed Hanif memaklumkan arwah bapanya sentiasa meletakkan kerjaya sebagai perkara paling utama ketika hayatnya.
Kapten Rahmat memaklumkan arwah bapa pernah bertanya kepadanya dan adik beradik lain sama ada beliau terlalu mengutamakan kerjaya sehingga mengabaikan masa.
“Pendek kata hal negara memang nombor satu, baru keluarga. Arwah ayah juga pernah tanya dengan kami adakah dia abaikan masa dengan anak-anak. Soalan ini diajukan selepas arwah sudah bersara.
“Ini kerana ketika menggalas tanggungjawah sebagai KPN, arwah sangat sibuk menjalankan tugas di lapangan,” katanya sebak ketika ditemui di Masjid Negara di sini hari ini.
Dalam masa sama, arwah juga berpesan sekiranya dijemput llahi, arwah tidak mahu diberi penghargaan secara besar-besaran.
“Itu pesanan yang saya masih ingat. Arwah bukan seorang individu yang mementingkan hal-hal begini.
“Tetapi sekiranya pihak Kerajaan mahu memberi penghargaan, kami terima dengan hati terbuka,” tambahnya lagi.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Timbalan KPN Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Solat jenazah akan dilakukan di Masjid Negara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Damansara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.