Tumpuan :
Nasional

Hakisan Pantai Batu Rakit makin memburuk

Keadaan rumah penduduk di kawasan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus semakin membimbangkan.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA NERUS: Hakisan pantai yang berlaku di sepanjang Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus, di sini, kian parah dan memburuk.

Selain jalan raya, rumah dan surau ditelan ombak, kubur juga kini hilang akibat hakisan.

Terbaharu ramai pengusaha kedai makanan pula terjejas dan hilang punca rezeki.

Tinjaun Buletin TV3 di kawasan Pantai Tanjong, Batu Rakit mendapati puluhan tahun dahulu ianya sebuah kawasan penempatan yang selamat.

Sejak masalah hakisan berlaku telah menyebabkan kemusnahan harta benda.

Ghazali Mohamad, 51, dan isteri, Mas Ayu Ahmad, 42, hanya mampu reda selepas kedai makanan yang diusahakan sejak lima tahun lalu menunggu masa hanyut ke laut.

Keadaan bertambah teruk sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula November tahun lalu.

“Sekarang tanah dah lima meter hakis, tinggal sikit lagi, dah tak dapat diselamatkan,” katanya.

Jelas isterinya pula, mereka sekeluarga hidup dalam ketakutan.

“Setiap malam tidur tak lena, bimbang rumah kedai runtuh tengah malam, setiap malam juga datang jenguk kedai, situasi di sini makin parah,” ujarnya.

Masalah sama juga dihadapi oleh beberapa peniaga lain di kawasan itu.

Mereka sudah beberapa kali beralih lokasi jualan disebabkan masalah hakisan berkenaan.

Pantai Batu Rakit sebelum ini sangat cantik dan sering dikunjungi pelancong.

Tetapi kini kawasan pantai menjadi sunyi sepi dan orang ramai tidak lagi berkunjung sejak berlaku hakisan teruk.

Jalan utama ke kampung berkenaan turut berlaku runtuhan.

Difahamkan, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM70 juta bagi melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai di daerah ini.

Proses kerja di sebahagian pantai yang terjejas juga telah mula dilakukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini