PEKAN: “Kejadian hakisan tebing sungai setiap tahun menyebabkan batu sempadan tanah milik saya kini berada di dalam sungai.
“Malah sejak lebih setengah abad saya tinggal di sini, sudah lebih enam meter tanah saya hilang,” kata Jamidi Wahab, 63, dari Kampung Padang Rambia, di sini.
Warga emas terbabit antara penduduk kampung itu yang terjejas akibat kejadian hakisan tebing sungai yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.
Dalam kejadian 18 Disember lalu, tebing sungai setinggi kira-kira lima meter terhakis sehingga merosakkan sebahagian jalan yang menjadi laluan penting untuk penduduk kampung padang Rambia dan Temai.
Jamidi berkata, kejadian itu tidak hanya menimpa dirinya sebaliknya ada penduduk lain yang turut kehilangan tanah dan harta benda.
“Sebelum ini ada penduduk di sini yang mengusahakan ternakan ikan sangkar dan dia membina rumah di tebing sungai untuk memudahkan urusannya menjaga sangkar.
“Bagaimanapun dia terpaksa meninggalkan rumah berkenaan disebabkan berlaku hakisan tebing dan ia tidak lagi selamat untuk diduduki,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jamidi berkata, dia berpendapat perlu ada tindakan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah ini seperti membina benteng dan jalan baharu namun ia perlu persetujuan bersama penduduk kerana membabitkan tanah persendirian.
Seorang lagi penduduk, Zulkifli Hussin, 62, berkata, hakisan tebing itu berlaku berhampiran pagar rumah sewanya dan bimbang keadaan itu semakin buruk pada masa akan datang.
“Pihak berwajib sudah datang melihat situasi ini termasuk wakil rakyat dan jalan ini sudah pun ditutup, jadi, kami terpaksa menggunakan jalan besar untuk berulang alik.
“Bagaimanapun saya tetap bimbang jika masalah ini tidak dapat diselesaikan secara jangka panjang akan menyebabkan keadaan lebih buruk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, beliau sendiri sudah turun padang meninjau masalah berkenaan dan meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan susulan.
“Tindakan jangka pendek JKR Pekan ialah menutup sementara jalan berkenaan manakala kos baik pulih jalan masih belum dapat dipastikan sehingga tindakan pembaikan cerun oleh JPS.
“Kita masih belum menerima laporan mengenai keputusan dan peruntukkan daripada JPS setakat ini,” katanya.