MUAR: Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menangis ketika mendengar fakta kes seorang bapa yang dituduh merogol anak kandung dibacakan di hadapannya di sini, hari ini.
“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih mengapa perkara ini boleh berlaku,” luah Abu Bakar sebelum menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun serta 30 sebatan terhadap seorang tukang urut yang mengaku bersalah merogol anak kandungnya.
Abu Bakar dilihat menitiskan air mata apabila fakta kes bagi tiga tuduhan itu dibaca.
Mengikut fakta kes, tertuduh, 46, didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dengan kejadian pertama berlaku pada 22 Jun lalu.
Dia sekali lagi mengulangi perbuatan terkutuk itu pada 26 Jun dan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 3 Julai lalu.
Ketiga-tiga kejadian berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Sri Medan, Batu Pahat.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.
@buletintv3 Hakim menangis dengar perbuatan terkutuk bapa rogol anak kandung #beritaditiktok #buletintv3 #baparogol ♬ original sound – BuletinTV3
Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama, kedua dan ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak tetapi bagi hukuman sebatan, perlu dijalankan secara berasingan.
Bagaimanapun, Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum dibenarkan mengikut kanun berkenaan.
Tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditahan 8 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira perkembangan terkini kes rogol melibatkan bapa kandung selain mencerminkan kepentingan awam melebihi tertuduh.