KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneliti hak penjagaan dua kanak-kanak yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Lojing, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keutamaan adalah keluarga terdekat dua beradik itu sebagai orang yang layak dan sesuai (OYLS).
Bagaimanapun, katanya, jika tiada ahli keluarga mereka yang layak dan sesuai, pihaknya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah.
“Biasanya kita akan merujuk kepada ahli keluarga mereka dahulu, tetapi jika didapati tidak sesuai kerana tidak berkemampuan barulah kita akan melihat orang lain yang mempunyai ‘chemistry’ dengan dua kanak-kanak itu.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada peringkat daerah sudah menangani isu itu,” katanya pada sidang media promosi I-System Collage di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.
Suhana Khairuddin, 37, yang hamil anak kembar dan suami, Ridwan Effendy Yusof, 43, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing, pagi semalam.
Berikutan kejadian itu, dua anak pasangan terbabit Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, dan Akid Darwisy Ridwan Akid Darwisy, 9, menjadi yatim piatu sekelip mata.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy berkata, JKM sedang berbincang lanjut dengan keluarga kanak-kanak itu untuk meneliti kesesuaian.
“Kalau tiada kesesuaian kami terpaksa mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan mereka di institusi kebajikan sehingga mereka berusia 18 tahun ataupun sehingga menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Hari ini, media melaporkan kakak kepada Suhana berdoa agar dia dan keluarga kuat untuk menggalas tanggungjawab menjaga kedua-dua anak Allahyarham.
Suhada Khairuddin, berkata mereka sekeluarga akan berbincang dengan kedua-dua keluarga selepas ini berhubung penjagaan dua anak Allahyarham.
Suhada berkata, di sebelah mereka ada lima beradik termasuk arwah Suhana dan sebelah arwah suami Suhana pula ada empat beradik.
Katanya, kedua-dua anak Allahyarham bersekolah berdekatan rumah ibunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dan SK Mulong,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.