comscore
Tumpuan :
Nasional

Haji 1444H: Menjelang hari wukuf, persiapan operasi masyair kini 60 peratus

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: 14 hari lagi menjelang kemuncak ibadah haji bagi musim 1444h, pihak Mashariq dan Kerajaan Arab Saudi giat mempersiapkan kelengkapan buat hampir dua juta jemaah haji seluruh dunia yang akan membanjiri Padang Arafah, Muzdalifah dah Mina.

Di pihak Malaysia, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, persiapan bagi jemaah haji Malaysia pula kini hampir 60 peratus dan akan siap sepenuhnya beberapa hari sebelum Hari Wukuf.

“Ketika ini pekerja sedang bertungkus-lumus menyiapkan segala kemudahan dan petugas haji juga memantau proses tersebut,” katanya kepada wartawan selepas melakukan tinjauan di ketiga-tiga kawasan itu.

Menurut Datuk Seri Syed Saleh, beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pihak Mashariq dan Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselesaan jemaah haji.

Antara pembaharuan yang dilakukan pada tahun ini adalah bumbung khemah di Arafah yang dibaluti jaring agar pengudaraan lebih lancar.

Selain itu kemudahan tandas dan peparitan di ketiga-tiga kawasan itu juga telah ditambah baik.

 

Di Mina pula, lantai khemah telah dipasang jubin, berbanding hanya hamparan permaidani seperti tahun-tahun sebelumnya.

Datuk Seri Syed Saleh juga berkata pihak Tabung Haji sudah membuat persiapan rapi bagi pergerakan jemaah haji Malaysia dari Makkah ke Padang Arafah untuk berwukuf pada 9 Zulhijjah bersamaan 27 Jun ini.

Operasi Masyair adalah kemuncak operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah haji.

Pada sebelah malamnya pula diadakan majlis bacaan Yasin, solat hajat memohon kelancaran operasi Masyair dan munajat 60 tahun TH bersama petugas haji di ibu pejabat TH di Hotel Abraj Janadriyah.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Syed Saleh berkata selepas beroperasi selama 60 tahun, TH kini telah mempunyai pendeposit seramai 8.9 juta orang dan simpanan sebanyak RM89 bilion.

“Ketika mula ditubuhkan melalui Akta Parlimen pada 1963, jumlah pendeposit ialah seramai 1,281 yang menanam saham awal sebanyak RM46,610.” katanya.

Kata beliau, ia adalah bukti bahawa umat Islam merasakan TH adalah tonggak kekuatan yang harus dipertahankan dan mereka terus memberikan sokongan kepada TH.

Loading...
Terkini