Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Haji 1444H : Jemaah haji dinasihati waspada gejala strok haba, banyakkan minum air

Oleh: Azri Mukhlas

MADINAH : Menjelang penerbangan pertama ke Tanah Suci 21 Mei ini, jemaah haji dinasihati supaya mengenali tanda-tanda strok haba agar langkah awal dapat diambil bagi mengelak mudarat yang lebih besar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, purata suhu di Tanah Suci kini melebihi 40 darjah Celsius, maka pencegahan awal adalah lebih baik daripada merawat.

Menurut Dr Asraf, sebelum seseorang itu mengalami serangan strok haba, mereka akan terlebih dahulu mengalami serangan kelesuan haba.

Gejalanya antara lain, kulit akan terasa lebih kering dan kemerah-merahan selain bibir dan lidah turut terasa kering.

Tanda seterusnya adalah pening kepala atau pengsan, kejang otot, muntah atau cirit-birit.

Jika semua tanda-tanda ini diabai dan tiada sebarang langkah pencegahan diambil, serangan strok haba boleh berlaku yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Asraf Ahmad Qamruddin

Dr Asraf berkata serangan strok haba ini boleh menyerang semua peringkat umur.

“Untuk strok haba, semua jemaah adalah berisiko. Namun, ada kumpulan jemaah yang lebih berisiko tinggi, contohnya warga emas berusia lebih 60 tahun serta jemaah yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes dan masalah buah pinggang,” katanya kepada pasukan petugas media yang mengikuti operasi haji Tabung Haji di Tanah Suci.

Menurut Dr Asraf, bagi mengelak serangan kelesuan haba ini, jemaah disaran minum sebelum tekak terasa haus, sekurang-kurangnya dua liter sehari.

Jemaah juga dinasihati mengelak daripada terdedah kepada terik matahari terlalu lama selain memakai pakaian berwarna cerah, ringan dan longgar.

Jemaah juga boleh memakai krim pelindung matahari dan kerap membasahkan tubuh.

Paling penting menurut Dr Asraf lagi, jemaah perlu segera mendapatkan rawatan awal di pusat-pusat kesihatan yang disediakan Tabung Haji di Tanah Suci bagi mengelak masalah lebih serius.

Untuk rekod, keadaan di Makkah lebih mencabar kerana kedudukan maktab penginapan jemaah  terletak agak jauh dari Masjidil Haram berbanding penginapan jemaah ketika di Madinah yang berhampira Masjid Nabawi.

Loading...
Terkini