
Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Finalis Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Hafiz Suip membawa kejutan dengan menampilkan penyanyi veteran, Herman Tino dalam persembahan Terus Bersinar di pentas AJL39, malam ini.
Tindakannya seakan mengimbau memori Awan Nano pada AJL26 yang turut menampilkan Herman Tino. Malah, Hafiz memilih tampil sederhana dengan hanya memakai baju-T dan seluar sukan, sama seperti persembahannya pada 2012.
Untuk rekod, Awan Nano ciptaan Datuk M. Nasir bukan sahaja menjuarai AJL26, dan turut merangkul Anugerah Vokal Terbaik pada edisi berkenaan.
Sementara itu, Masdo dan Aisyah Aziz memukau penonton menerusi Pujaanku dalam gubahan istimewa berunsur muzik tradisional. Keunikan persembahan turut diserlahkan dengan iringan alat muzik maruas, yang sering digunakan dalam alunan zapin.
Terdahulu, AJL39 dibuka dengan persembahan bertenaga Amir Masdi menerusi lagu Sengaja, diikuti Marsha Milan yang menghayati Hening Rindu dengan penuh emosi.
Akim and the Majistret pula meneruskan momentum AJL39 dengan persembahan penuh bertenaga menerusi lagu saksama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.