SHAH ALAM: Berpisah cara baik, tiada pergaduhan…
Kemelut rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi, 29 bersama isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, berakhir apabila kedua-duanya disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Hafidz atau nama sebenarnya, Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi yang ditemui selepas prosiding sebutan pengesahan lafaz cerai di mahkamah, bersyukur perceraiannya berakhir dengan baik.
“Saya bersyukur kes kami selesai dengan baik dan bercerai talak satu. Saya nak ucapkan terima kasih semua yang menghormati privasi dan kerjaya saya.
“Alhamdulillah, saya lega perkara ini dapat diselesaikan cara baik dan tiada pergaduhan. Saya juga menghormati keputusan hakim dan berpuas hati dengan keputusan hari ini,” katanya kepada BH Online.
Peguam syarie mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, mahkamah sudah memutuskan hanya satu lafaz cerai yang sah iaitu pada 22 Februari tahun ini.
“Dakwaan sebelah pihak lagi yang mendakwa lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp pada 20 Januari lalu tidak diterima oleh mahkamah. Maka, perceraian adalah talak satu bertarikh 22 Februari lalu,” katanya.
Sementara itu, Nurul Shuhada yang berbusana putih turut lega seolah-olah beban dipikul selama ini sudah diangkat.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Saya merasakan seperti Allah sudah angkat satu beban. Terima kasih Allah.
“Saya perlu kuat semangat sebab kini tak bergantung pada orang lain dan hanya bergantung pada Allah sahaja.
“Sekarang, saya mahu fokus diri sendiri, anak-anak dan capai cita-cita kerana insya-Allah, saya mahu sambung belajar,” katanya yang tamat edah pada Aidilfitri kedua lalu.
Terdahulu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, sebelum itu memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.
Hafidz dan Nurul Shuhada yang mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.