![](https://media.buletintv3.my/2022/12/9T8CV6QL-pp-cms-5.jpg)
Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi amaran kepada ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini yang tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPl) bermula pada tahun depan akan berdepan tindakan ditukarkan ke tempat lain.
Tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, KPI itu penting memandangkan beberapa aduan diterima sebelum ini termasuk terdapat wakil agensi berkaitan tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, sikap negatif itu menyebabkan permasalahan yang dihadapi rakyat tidak dapat diselesaikan secara tuntas.
“Saya terima beberapa aduan bila kita bermesyuarat di peringkat Japerun, ketua-ketua atau wakil jabatan tidak hadir malah keadaan itu setahun lebih berlalu.
“Tidak sekali pun agensi berkenaan hadir, saya tidak akan bertoleransi pada yang tidak berminat bekerja di Melaka dipersilakan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan sempena perbahasan usul bajet negeri Melaka 2023 Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Tegas Sulaiman, bagaimanapun keputusan itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya keputusan itu dapat dimuktamadkan.
“Tolong berikan perhatian, saya tidak mahu perkara ini berulang, sebab tidak dapat jawapan panggilan, teks sistem pesanan ringkas (SMS) tidak jawab.
“Jadi ketua jabatan berkenaan saya beri amaran dalam dewan ini, saya akan ambil tindakan terhadap siapa tidak berminat kerja di Melaka.” katanya.