Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hadiah hari jadi istimewa, Hashimah teruja dapat kerakyatan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hampir empat dekad hidup tanpa kerakyatan, seorang wanita kini boleh menjalani kehidupan dengan tenteram dan mengejar impiannya apabila menerima sijil kewarganegaraan serta kad pengenalan sebagai rakyat Malaysia.

Hashimah yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-40 pada 9 Januari lalu berkata, dia teruja apabila menerima panggilan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dua hari lalu supaya hadir mendapatkan dokumen berkenaan.

“Saya rasa susah tiada kad pengenalan (dan kewarganegaraan). Bila nak buat sesuatu rasa perit. Nak minta bantuan dari Jabatan Kebajikan dan institusi zakat tidak dapat. Saya juga lebih 20 kali ditangkap polis ketika serbuan dan pernah bermalam tiga hari di lokap sebab polis ingat saya bukan warganegara.

“Saya rasa sangat gembira dapat kad pengenalan, senang untuk kemudahan seperti hospital, pekerjaan baharu dan boleh pergi umrah, insyaAllah. Alhamdulillah,” katanya yang ditemui selepas mendapatkan sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan di Ibu Pejabat JPN di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dan Penyelaras Undang-Undang LFL, Nabila Khairuddin.

Hashimah tidak dapat menahan kegembirannya sebaik sahaja keluar daripada pintu gerbang utama JPN sambil menayangkan dokumen berkenaan.

Di sebalik momen bersejarah itu, Hashimah dilihat cuba menahan sebak dan rasa ‘kepuasan’ kerana penantian tanpa kerakyatan berakhir.

Pada 16 November 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Hashimah sebagai warganegara Malaysia.

Hashimah ditinggalkan oleh ibu bapanya pada usia tiga bulan dalam serbuan pada 1983.

Identiti ibu bapa kandung Hashimah masih tidak diketahui walaupun banyak percubaan untuk mengenal pasti dan mencari mereka dilakukan.

Menceritakan liku-liku kehidupannya, Hashimah berkata, beliau dibesarkan di lima buah rumah anak yatim sebelum keluar daripada rumah tersebut ketika umurnya mencapai 18 tahun.

Dia kemudian bekerja sebagai pengasuh di satu rumah kebajikan dan turut belajar menjahit untuk menyara hidup.

“Lebih dua tahun saya berjuang, turun naik mahkamah untuk mendapatkan kerakyatan. Apabila hari keputusan kes, saya berdoa, berselawat dan baca Al-Fatihah banyak-banyak. Saya cakap (pada diri) saya serah kepada Allah kerana saya betul-betul putus asa ketika itu. Tapi tak sangka keputusan memihak saya,” katanya.

Ditanya mengenai proses urusan mendapatkan kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan, Hashimah berkata, semua proses berjalan lancar.

“Ini pertama kali saya dapat kad pengenalan. Selama 39 tahun saya bersusah payah untuk dapat kerakyatan, dua jam proses urusan dokumen itu tidak ada apa-apa masalah. Saya syukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong saya,” katanya.

Sementara itu, Zaid mahu situasi yang berlaku kepada Hashimah dijadikan panduan kepada kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri bagi mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) menguruskan kes anak terbiar tanpa kewarganegaraan.

“Banyak anak terbiar belum dapat kewarganegaraan walaupun mahkamah telah menyatakan bahawa anak terbiar tanpa diketahui atau dijumpai ibu bapa, patut diberikan kerakyatan seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Seharusnya kementerian ambil isu ini untuk mengemas kini SOP JPN supaya isu sama tidak berlaku. Tiada keperluan orang (anak terbiar) yang berdepan situasi sama untuk pergi ke mahkamah.

“Saya percaya dan berharap Menteri Dalam Negeri mendengar keresahan hati anak terbiar yang lain untuk selesaikan isu kewarganegaraan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Loading...
Terkini