KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan kini berada dalam keadaan baik.
Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman mengesahkan perkara itu.
“Alhamdulillah, ya ayahanda tuan guru sudah dibenarkan keluar dan keadaannya semakin baik. Namun, ayahanda tuan guru dinasihatkan untuk terus berehat dan semua diminta memberikan ruang kepadanya,” katanya.
Abdul Hadi, 76 yang juga Ahli Parlimen Marang dimasukkan kepada IJN pada 1 Januari lalu bagi melakukan pemeriksaan susulan mengikut rutin kesihatan seperti ditetapkan.
Sepanjang hampir 10 hari dirawat, beliau tidak dibenarkan menerima pelawat.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak dapat menemui beliau ketika melawatnya di hospital berkenaan pada 5 Januari lalu.
Bagaimanapun, Abdul Hadi dikatakan masih menulis melalui laman sosial Facebook (FB) Minda Presiden PAS.