Tumpuan :
Nasional

Doakan kesembuhan Ayahanda Tuan Guru – Khalil

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak sulungnya Muhammad Khalil menerusi perkongsian di laman Facebooknya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, Abdul Hadi sudah kelihatan uzur ketika pelancaran Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN), baru-baru ini.

“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital.

“Malah kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihan raya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya.

Pada Februari tahun lalu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas.

Beliau ketika itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Loading...
Terkini