comscore
Tumpuan :
Nasional

Hadi Awang tidak hadir ke Parlimen sekali lagi

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa tidak hadir ke sesi pembukaan Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

NST dalam laporannya berkata kerusi beliau yang diletakkan di barisan depan kumpulan pembangkang dilihat kosong semasa Sultan Ibrahim menyampaikan titah pada Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di sini, hari ini.

Laporan itu juga menyebut berdasarkan maklumat pada pangkalan data MyMP (mymp.org.my), Hadi cuma hadir sebanyak 33 kali daripada 103 sesi persidangan Parlimen sejak 26 Julai 2021.

MyMP mula dilaksanakan sejak 2016 oleh Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights bagi mengesan tahap ketersediaan, kesetiaan, kadar kemenangan dan etika kerja ahli parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini. – FOTO: Ihsan Jabatan Penerangan.

Untuk daftar kehadiran, MyMP menggunakan data dari hansard parlimen yang merekodkan kedatangan ahli parlimen.

Pada November tahun lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata nama ahli parlimen yang didapati tidak hadir persidangan parlimen secara sengaja akan dipamerkan di laman web Dewan Rakyat .

Katanya, ia adalah sebagai salah satu makluman kepada pengundi di kawasan ahli parlimen berkenaan.

Menurut beliau, tindakan itu adalah antara beberapa pembaharuan yang dilakukan bagi meningkatkan kehadiran ahli parlimen daripada blok kerajaan serta pembangkang.

Tambahnya, tindakan itu masih diperingkat cadangan dan akan dibincangkan dengan Jawatankuasa Parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

Hadi dilaporkan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 1 Januari lalu selepas hadir untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Pada November 2022, Hadi mempertahankan rekod kehadirannya di parlimen dengan berkata ia tidak boleh dibanding dengan kehadiran pelajar ke sekolah kerana ia melibatkan proses dan sistem yang berbeza.

Ketika kempen pilihan raya umum ke-15, Hadi dipetik sebagai berkata kebanyakan orang tidak faham peranan ahli parlimen.

Tambahnya, sebagai Wakil Khas Malaysia ke Asia Barat, ini telah menghadkan masanya untuk ke parlimen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini