Tumpuan :
Dunia Seni

Hadapi dugaan tanpa restu, Marsha Milan tekad kejar impian

KUALA LUMPUR: Marsha Milan yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) baru-baru ini, meniti perjalanan yang tidak mudah sepanjang kariernya.

Di sebalik kejayaan yang diraih, terdapat pelbagai cabaran besar yang ditempuhinya sepanjang dua dekad dalam industri hiburan tanah air.

Pada awal pembabitannya dalam industri seni, Marsha tidak mendapat restu daripada ibunya, kerana berpandangan dunia hiburan bukan bidang menjanjikan masa depan yang stabil.

Namun, Marsha tekad membuktikan bahawa minatnya bukan sekadar angan-angan, dengan meneroka pelbagai cabang dalam industri hiburan, termasuk menjadi pengacara, sambil terus mengukuhkan namanya sebagai penyanyi.

“Cabaran paling sukar adalah untuk terus relevan dalam industri. Pada usia ini, barulah saya mendapat pendedahan dan sorotan yang lebih besar,” katanya, mengenang perjalanan seni yang penuh liku.

Awal kemunculannya bukan sesuatu yang indah, dengan bayaran hanya sekitar RM570 untuk beberapa bulan pertama, sedangkan kadar sewa rumahnya mencecah RM500 sebulan.

“Saya malu untuk meminta duit daripada ibu bapa kerana ingin membuktikan mereka salah. Akhirnya, saya terpaksa bertanya kepada adik-beradik jika mereka boleh meminjamkan wang kepada saya,” luahnya, mengenang detik sukar itu.

Lebih mencabar, ketika namanya lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi, Marsha berusaha keras untuk memastikan dirinya tidak dilupakan sebagai seorang penghibur yang bermula dengan nyanyian.

Beliau sanggup mengorbankan wang simpanannya sendiri demi menerbitkan lagu baharu agar namanya terus relevan dalam industri muzik.

Keputusan berani Marsha membuahkan hasil apabila beberapa lagu yang dilancarkannya mendapat sambutan, termasuk ‘Sumandak Sabah’ dan ‘Bimbang’ yang menjadi titik perubahan besar dalam kariernya.

“Alhamdulillah, selepas mengeluarkan lagu ‘Bimbang’, saya akhirnya berjaya menembusi pentas yang lebih besar seperti Muzik-Muzik,” katanya penuh kesyukuran.

Dengan usaha yang tidak pernah putus asa dan keyakinan terhadap impian sendiri, Marsha akhirnya berjaya merangkul kejuaraan AJL39, sekali gus membuktikan kepercayaan terhadap diri sendiri dan kerja keras pasti membuahkan hasil.

“Never stop believing and never stop dreaming,” itulah kata-kata yang terus dipegang oleh Marsha, inspirasi kepada ramai bakat muda yang bercita-cita besar dalam industri seni tanah air.

Marsha yang bernaung di bawah Alternate Records & Talent juga bakal mengeluarkan lebih banyak lagu dan album serta mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert di masa hadapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini