comscore
Tumpuan :
Nasional

Had laju di kawasan sekolah perlu dikurangkan ke 30km/j – TPM Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKMKKJR diPusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Had laju maksimum di kawasan sekolah perlu dikurangkan kepada 30 kilometer sejam (km/j) berbanding kadar 40km/j sebelum ini.

Cadangan itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya bagi pengguna jalan raya yang berisiko iaitu golongan kanak-kanak terdiri daripada murid dan pelajar sekolah seterusnya mengurangkan kadar kemalangan membabitkan golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR), berkata cadangan itu juga selaras dengan statistik kemalangan di kawasan sekolah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, menerusi statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, kemalangan di sekolah pada tahun 2023 membabitkan 322 kes kecederaan termasuk kematian.

“Secara purata sebanyak 67 kematian direkodkan setiap tahun akibat kemalangan di kawasan sekolah.

“Apa yang telah dicadangkan oleh jawatankuasa ini ialah untuk menurunkan had laju kepada 30km sejam di kawasan sekolah dan bonggol disediakan (dibina).

“Ini tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada mana-mana kementerian tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak sekolah boleh bekerjasama untuk melakukannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKMKKJR diPusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Mesyuarat turut disertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta wakil agensi berkaitan termasuk DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah beliau, kadar semasa had laju adalah 40km/j, secara relatifnya berdasarkan dapatan kajian antarabangsa, sekiranya kelajuan dikurangkan 1km/j, mampu mengurangkan 4 hingga 5 peratus kematian.

“Walau bagaimanapun, satu Pasukan Petugas perlu diwujudkan bagi menetapkan jangka masa yang sesuai, mengenalpasti zon mula dan tamat dan mewartakan had kelajuan di kawasan sekolah.

“Sebagai satu tanggungjawab sosial, saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mewujudkan kolaborasi antara sekolah dan PIBG untuk membina bonggol bagi mengurangkan kelajuan kenderaan supaya pelaksanaan 30 km/j lebih berkesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini