comscore
Tumpuan :
Nasional

Habis seluruh bumbung tercabut, barang tak boleh diselamatkan – Mangsa ribut

FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Kebiasaannya dia yang tampil membantu penduduk yang berhadapan masalah di Kampung Permatang Binjai, di sini, namun kali ini seorang aktivis masyarakat reda, selepas rumah yang didiaminya rosak teruk akibat ribut yang melanda pagi tadi.

Noor Hasni Saad, 57, berkata ketika kejadian jam 11 pagi dia sedang berniaga makanan di kedai miliknya di Teluk Air Tawar yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

Kejadian hanya diketahui sebaik dihubungi ahli keluarganya.

Noor Hasni lalu bergegas pulang dan terkejut melihat bumbung rumahnya telah diterbangkan ribut.

“Semasa berada di kedai memang saya nampak langit gelap sangat dan angin begitu kuat sehingga saya terima panggilan telefon dari seorang anak saya yang minta saya pulang segera kerana rumah kami kena ribut.

“Apabila sampai memang tak dapat nak buat apa-apa dah, habis seluruh bumbung rumah tercabut dan banyak barang dalam rumah tak boleh nak diselamatkan.

“Ketika kejadian cuma ada seorang anak dan cucu saya dalam rumah itu. Mujur tidak berlaku apa-apa kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, dia sebelum itu tidak pernah berdepan kejadian ribut dan sering turun padang membantu mangsa-mangsa yang lain.

“Banyak saya duduk pi (bantu) sebelum ini (bantu mangsa ribut), hari ini berlaku depan mata sendiri apabila rumah sendiri dilanda ribut.

“Saya reda dengan ujian ini dan masa sama berharap pihak berwajib dapat bantu saya serta mangsa-mangsa lain yang terlibat kerana rumah ini sahaja yang kami ada untuk duduk,” katanya.

Difahamkan, daerah Seberang Perai Utara banyak lokasi terjejas ekoran ribut termasuk Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu Kepala Batas yang dilaporkan diterbangkan angin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, beberapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kerosakan rumah akibat ribut.

“Kita sedang mengumpul semua laporan polis ini dan akan dikongsikan kepada pihak media nanti,” katanya.

Loading...
Terkini