Tumpuan :
Nasional

Hab Gas & Petroleum RM14.4 Bilion Pacu Pembangunan Yan Dan Kedah

Oleh Selwam Arjunan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan, Kedah.

YAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan, Kedah yang dibangunkan bersama oleh Kumpulan MMC Corporation Berhad dan SKS Corporation Sendirian Berhad bernilai RM14.4 bilion.

Projek prasarana itu diyakini menjadikan Pulau Bunting sebagai hab industri petroleum terutamanya yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau utara semenanjung, selain memacu aktiviti ekonomi di daerah Yan dan negeri Kedah ke tahap yang lebih tinggi.

Projek Pembangunan Berintegrasi dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kedah itu turut menerima bantuan dan bimbingan daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kerajaan Pusat komited menyokong pelaksanaan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting dengan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di kawasan utara.

“Selain bakal berubah seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya merupakan kawasan perkampungan nelayan yang kemudiannya membangun pesat sebagai kawasan perindustrian. Justeru penduduk Yan, terutamanya golongan muda bakal menikmati peluang pekerjaan,” ujar Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyempurnakan majlis perasmian di Pulau Bunting, Yan petang tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Takiyuddin Hassan dan menteri-menteri kabinet serta Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Tajuddin Atan.

Lebih 10,000 orang turut menyertai majlis berkenaan yang juga diraikan dalam Majlis Kenduri Keluarga Malaysia susulan kehadiran sulung Perdana Menteri ke daerah berkenaan.

Projek itu merangkumi tiga segmen utama, yang mana segmen pertamanya adalah Hab Kapal-ke-Kapal Yan iaitu sebuah pelabuhan persisiran pantai khusus untuk aktiviti pemindahan kargo produk gas asli cecair atau ‘Liquified Natural Gas’ (LNG) dan produk petroleum di dalam Had Pelabuhan Yan yang berkeluasan 554 kilometer persegi dan sejauh 20 batu nautika dari persisiran pantai Yan.

Yan dipilih untuk mewujudkan hab berkenaan kerana lokasi strategik yang terletak di pintu masuk utara Selat Melaka yang merupakan laluan perdagangan paling sibuk di dunia dengan lebih 100,000 kapal menggunakan perairan itu setahun.

Segmen kedua pula membabitkan pembinaan Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dengan anggaran kapasiti 1,600MW, yang juga akan menjadi prasarana asas untuk memberi sokongan kepada pembangunan industri di daerah Yan dan negeri Kedah keseluruhannya.

Loji CCGT baharu itu akan menggunakan turbin gas generasi terkini dengan tahap kecekapan dan keboleharapan tinggi serta mesra alam dan bakal siap pada tahun 2029.

Manakala komponen ketiga pula merupakan pembinaan Terminal Peggasan Semula LNG (Regassification Terminal) yang akan dikenali sebagai RGT Yan. Ia akan menjadi gerbang kemasukan gas asli wilayah utara dan yang ketiga di Semenanjung Malaysia selepas RGT Sungai Udang di wilayah Tengah dan RGT Pengerang di wilayah selatan.

Ia juga akan menyediakan sebuah terminal penggasan semula gas asli cecair dalam bentuk kapal “Floating Storage and Regassification Unit” (FSRU) atau “Floating Storage Unit” (FSU) yang berlabuh berdekatan persisiran pantai Yan. Di situ, LNG akan diimport dan diubah menjadi gas asli oleh RGT Yan dan kemudiannya disalurkan kepada pengguna akhir seperti industri, kilang, hotel dan sebagainya.

Tiga komponen di bawah projek berkenaan akan menyediakan infrastruktur asas termasuk bekalan elektrik dan gas asli bagi wilayah utara dalam menyokong perancangan menjadikan Kedah sebagai destinasi pelaburan dan aktiviti ekonomi menarik. Selain itu, ia juga akan mengubah landskap ekonomi daerah Yan yang ketika ini bergantung kepada sektor pertanian serta mempercepatkan usaha membawa pembangunan bersekala besar ke negeri Kedah selain menjadi pemangkin kepada pembangunan di wilayah tengah dan pesisir pantai negeri.

“Untuk terus kekal berdaya saing dalam era pasca COVID-19, kita perlu lebih kreatif dan proaktif dalam mencipta lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.”

“Sehubungan itu, langkah yang diambil sektor swasta seperti Kumpulan MMC amat bermakna dalam membantu kerajaan memulihkan semula ekonomi negara dan juga Keluarga Malaysia.”

“Ini kerana sektor swasta berperanan menjadi enjin utama pertumbuhan untuk menggerakkan sektor ekonomi pasca pandemik supaya negara berada pada kedudukan atau mencapai prestasi lebih baik,” tambah Perdana Menteri dalam ucapan.

Sementara itu, projek itu akan turut memberikan limpahan faedah hiliran kepada penduduk negeri Kedah dengan menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu. Pada masa yang sama, ia membuka peluang kepada kontraktor-kontraktor dan pembekal tempatan untuk turut terlibat dalam projek berkenaan.

Projek berkenaan juga dijamin dilaksanakan dengan pematuhan peraturan dan piawaian alam sekitar agar tidak menjejaskan ekosistem alam semulajadi serta kawasan pertanian dan pelancongan setempat.

Loading...
Terkini