Tumpuan :
Nasional

GVF 2023: Pengurus jelajah The 1975 enggan hentikan persembahan

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kedegilan pengurus jelajah The 1975 menjadi punca penganjur berdepan kesulitan menghentikan persembahan kumpulan itu yang berbuat onar di Good Vibes Festival (GVF) baru-baru ini.

Pengarah Hiburan, Future Sound Asia (FSA), Wan Alman berkata disebabkan itu mereka terpaksa memanggil pihak berkuasa selepas pengurus terbabit enggan memberi kerjasama.

Penganjur GVF, Future Sound Asia, Wan Alman (dua kanan) dan Ben Law (kanan) pada sidang media mengenai kesan pembatalan GVF membabitkan The 1975 baru-baru ini di The Bee, Publika. -FOTO NST

“Keputusan menghentikan persembahan itu sepenuhnya bukanlah satu hal yang mudah. Kami tidak buat keputusan secara sembarangan. Banyak perkara perlu diteliti sebab membabitkan artis dan peminat.

“Jadi, apabila insiden berkenaan (vokalis The 1975 bercium dengan gitaris) berlaku, kami minta ‘tour manager’ The 1975 untuk hentikan persembahan. Tapi, dia seperti keberatan untuk berbuat demikian.

“Disebabkan ingkar untuk berhenti, kami terus meminta bantuan pihak berkuasa. Kami mengambil beberapa minit untuk menghentikan persembahan berkenaan,” katanya.

Artikel berkaitan: The 1975 patut dihadapkan ke mahkamah negara ini

Wan Alman turut memaklumkan, proses bayaran balik kepada penonton yang terkesan bakal diumum kelak.

Penganjur masih meneliti mekanisme paling sesuai untuk selesaikan proses itu.

Dia hari ini tampil memberi penjelasan mengenai isu GVF pada sidang media, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife), Para Rajagopal, Presiden Alife, Rizal Kamal, serta pemilik FSA, Ben Law.

Terdahulu, kerajaan Malaysia membatalkan baki dua hari GVF yang sepatutnya berlangsung pada 21 hingga 23 Julai di Sepang hingga merugikan ramai pihak, selepas perbuatan kurang sopan kumpulan The 1975.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Pembatalan GVF: Peguam tawar khidmat guaman percuma untuk artis, vendor terjejas

Vokalisnya, Matty Healy membuat persembahan sambil memegang botol arak, menghina undang-undang Malaysia, merosakkan dron, selain bercumbu dengan pemain bass kumpulan itu, Ross MacDonald.

Loading...
Terkini