SIK: Seorang guru madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Baling di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan fizikal dan emosi muridnya yang berusia lapan tahun, 11 November lalu.
Amirul Hakim Johari, 27 minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapkan Hakim, Najwa Che Mat.
@buletintv3Seorang guru madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Baling di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan fizikal dan emosi muridnya yang berusia lapan tahun, 11 November lalu. #BuletinTV3 #BatangPaipPVC #PelajarDisebat♬ ■ News News-Drone-IT-AI(963995) – ImoKenpi-Dou
Mengikut pertuduhan terhadapnya, Amirul didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di Madrasah Baituttaqwa Warahmah di Kampung Durian Burung, Sik pada 11 November lalu.
Tertuduh berasal dari Petaling Jaya didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.
Najwa kemudian menetapkan 21 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Semalam, media melaporkan seorang murid lelaki sebuah madrasah di Sik, cedera beberapa bahagian badan disyaki dirotan gurunya, dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.
Berdasarkan perkongsian laman sosial ibu saudaranya di Facebook malam tadi, mendapati pelajar berusia lapan tahun itu lebam teruk di punggung dan pinggang.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Abdull Razak Osman, berkata susulan kejadian itu, polis menahan sekolah lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai tenaga pengajar madrasah itu.