comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru tidak mengaku curi lampin pakai buang, filet ikan salmon

Guru sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas dakwaan mencuri barangan bernilai lebih RM243 di pasar raya besar, April lalu. – FOTO: NSTP

IPOH: Seorang guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri barangan bernilai lebih RM243 termasuk lampin pakai buang di sebuah pasar raya besar, April lalu.

Cheong Khang Wen, 38, didakwa mencuri barang berupa dua unit lampin pakai buang jenama Mamy Poko Extra Dry, sepaket filet ikan salmon seberat 0.512 kilogram (kg), sepaket filet ikan salmon seberat 0.432kg, sepaket ikan kerapu (0.54kg) dan sepaket ikan merah (0.648kg) dari dalam bangunan milik pasar raya yang kesemuanya bernilai RM243.47.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  di Pasaraya AEON Mall Klebang, Chemor, jam 7.25 malam, 17 April lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam Elaine Foong.

Fatin Hosna menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh namun Elaine meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM3,000 mengambil kira tertuduh yang menyara tiga anak kecil berusia 3 hingga 7 tahun selain menjaga bapa yang menghidap strok.

Selain itu, Elaine turut meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang mengalami penyakit berkaitan psikiatri iaitu kerisauan melampau (anxiety) serta memerlukan bekalan ubat bagi penyakit darah tinggi dari hospital.

Majistret S Punitha kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin .

Sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.

Loading...
Terkini