Tumpuan :
Nasional

Guru terbaik ‘Asian Education Awards 2024’ cetus 42 projek inovasi

K.Thipanraj dinobat guru terbaik ‘Asian Education Awards 2024’ di Bangkok pada 9 November 2024. – FOTO: Thipan Raj/ Facebook

JOHOR BAHRU: 42 projek inovasi berjaya dicetuskan seorang guru bersama murid.

Kejayaan itu membolehkan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera, K. Thipanraj, dinobatkan guru terbaik di ‘Asian Education Awards 2024’.

Kecemerlangan dan inovasi dalam pengajaran melayakkan beliau merangkul anugerah berprestij itu.

Thipanraj, 33 tahun berkata, beliau bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selain menjadi contoh baik kepada murid.

Guru Sains dan Multimedia itu memimpin 42 projek inovasi bersama murid menerusi teknologi, pembelajaran secara langsung dan projek berasaskan inovasi.

Sumbangannya dalam bidang robotik, kelestarian alam sekitar dan inovasi membantu melahirkan murid yang kreatif dan kritis.

Antara projek yang diperkenalkan adalah ‘Underground drone for search and rescue’.

Melalui projek itu, dron direka untuk memantau kawasan bawah tanah dan membantu pasukan penyelamat.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan projek ‘smart chicken feeder’ untuk menyelesaikan masalah penternakan ayam di sekolah.

“Projek waktu wise” pula membantu pelajar menguruskan masa mereka dengan lebih efektif.

Manakala projek ‘froggy IOT’ menggabungkan teknologi ‘internet of things (IOT) untuk memantau keadaan alam sekitar, khususnya dalam memantau kualiti air.

Katanya, pencapaian seorang guru bukan hanya diukur melalui pengiktirafan mahupun anugerah, sebaliknya melalui kejayaan murid mencapai potensi mereka.

Thipanraj turut terpilih dalam Program Duta Guru Malaysia, yang diberi tanggungjawab melatih pendidik agar memberi impak besar dalam pendidikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini