Tumpuan :
Nasional

Guru TASKA cederakan bayi hingga lebam didakwa esok

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Guru yang disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Puncak Alam, Jumaat lalu, akan didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata suspek berusia 24 tahun itu akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang.

“Polis sudah mendapat arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Suspek akan dituduh pada 20 Disember 2024 (esok) di Mahkamah Sesyen Klang,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Semalam, Mohd Hafiz dilaporkan berkata tempoh reman ke atas suspek yang berakhir semalam disambung sehingga esok selain mengesahkan pihaknya sudah merakam percakapan lima individu bagi membantu siasatan.

Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah TASKA di Puncak Alam.

Suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira jam 6.50 petang, Sabtu lalu.

Penahanan itu susulan aduan oleh bapa bayi berkenaan selepas terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya itu.

Ia disedari beliau ketika mengambil bayi berkenaan daripada TASKA terbabit pada jam 6.15 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini