Tumpuan :
Nasional

Guru sejarah kejar impian sebagai penyampai berita

Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi menyertai Uji Bakat Penyampai Berita TV3 yang diadakan di Balai Berita Kuala Lumpur hari ini.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Seorang guru, Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi tidak melepaskan peluang untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang penyampai berita.

Guru yang mengajar subjek sejarah berusia 29 tahun dari Kota Samarahan, Sarawak itu menyertai Uji Bakat Penyampai Berita TV3 di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Sekalipun sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan, minat terhadap penyampaian berita tidak pernah pudar, malah kesempatan menyertai uji bakat kali ini dilihat sebagai peluang keemasan untuk memburu impian lamanya.

“Saya dah sampai KL semalam dalam 2:30 petang, tinggal dekat rumah kawan untuk menyertai uji bakat ini.

“Ibu bapa memberi penuh semangat kepada saya untuk mengejar impian saya,” katanya.

Syahdad Naquiyuddin turut berterima kasih atas peluang diberikan menerusi uji bakat ini kerana dapat mempelajari teknik menyampaikan berita dengan tepat.

“Terdapat beberapa perkara yang saya tertarik khusunya mengenai teknik ‘pausing’ yang melibatkan ketika sesuatu berita disampaikan supaya tidak berubah maksud,” katanya.

Uji Bakat Penyampai Berita TV3 berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang melibatkan seramai 25 penyertaan.

Panel juri yang terlibat antaranya Penerbit Eksekutif Kanan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima Berhad dan penyampai berita TV3, Mior Abdul Malek Raiyani, penyampai berita TV3, Fatin Hamimah Yusof; Asrul Nizam Kadir; Farah Nabilah Wazer dan penyampai berita TV9, Ahmad Barr Zainal Abidin.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh dan Pengurus Besar On Air Presentation (OAP) Divisyen NCA, Kamaruddin Mape.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini