comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru prasekolah terima pengiktirafan pendidikan bertaraf Asia

Nurhayatul Nira ketika menerima pengiktirafan di Bangkok.-FOTO IHSAN FB NURHAYATUL NIRA

BANGKOK: Selepas 18 tahun mencurahkan bakti dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, guru prasekolah Nurhayatul Nira Ramli diberi penghormatan di majlis Anugerah Pendidikan Asia 2024 yang berprestij.

Pendidik berusia 44 tahun dari Makmal Perkembangan Kanak-Kanak di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menerima anugerah Guru Terbaik 2024 bagi Pendidikan Prasekolah daripada Asia Education Conclave (AEC) yang mengiktiraf semangatnya untuk mengajar dan komitmen mengasuh anak-anak kecil.

Nurhayatul melahirkan rasa syukur apabila menerima anugerah itu di Bangkok, kelmarin.

“Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Guru Terbaik – Prasekolah daripada Asia Education Conclave. Platform ini menyatukan pendidik dari seluruh dunia dan menyerlahkan peranan penting yang kami sebagai pendidik, mainkan dalam membentuk masa depan.

“Saya amat bersyukur kepada Allah atas nikmat, petunjuk dan peluang tidak terkira banyaknya yang membawa saya ke saat ini.

“Pengiktirafan ini memenuhi hati saya dengan rasa syukur dan rendah hati. Saya berasa bertuah dapat berdiri bersama pendidik dan pemimpin yang begitu berdedikasi dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi.

 

Pengiktirafan yang diterima Nurhayatul Nira.-FOTO IHSAN FB NURHAYATUL NIRA

Nurhayatul dari Kajang, Selangor berkata, beliau mengajar di sebuah prasekolah yang mempunyai kira-kira 150 murid berusia tiga bulan hingga enam tahun.

“Saya mengajar mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan anugerah ini adalah bukti usaha kolektif semua pihak yang bekerja keras untuk meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya berharap dapat terus memberikan impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Nurhayatul turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sekerja, mentor dan keluarganya atas sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bahagi.

“Ada yang mungkin mengatakan saya terlalu tua untuk mengejar impian ini, tetapi saya mengingatkan diri bahawa kehebatan sebenar memerlukan masa untuk diasuh, dengan ramuan terbaik dan dedikasi yang sabar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini