Tumpuan :
Nasional

Guru naik lori JBPM ambil soalan peperiksaan SPM

Seramai 37 guru dibawa ke SMK Tumpat untuk mengambil soalan peperiksaan Ujian Lisan SPM 2024. FOTO: JBPM

TUMPAT: Seramai 37 guru yang juga penjaga peperiksaan terpaksa menaiki lori bomba untuk mengambil soalan peperiksaan Ujian Bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di bilik kebal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat, pagi tadi.

Mereka dibawa menaiki lori lima tan berikutan beberapa laluan ke sekolah itu masih dilimpahi air dalam paras yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan termasuk pacuan empat roda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu Nazah Nafi berkata, kesemua guru itu berkumpul di Kampung Terbak sebelum dibawa meredah banjir.

“Seramai tiga anggota terbabit dalam operasi membawa sekumpulan guru itu untuk mengambil kertas soalan di bilik kebal di SMK Tumpat sebelum diagihkan ke SMK Geting dan SM Ugama (Arab) Meheliah Geting.

“Beberapa laluan di Pengkalan Kubor masih dilimpahi air di paras agak dalam dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan termasuk pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nazah berkata, untuk penugasan di sekitar Wakaf Bharu, operasi pemindahan sudah tidak dijalankan memandangkan paras air semakin surut namun banyak kawasan masih digenangi air.

Bagaimanapun, katanya, penugasan anggotanya tetap berjalan seperti biasa termasuk membawa calon SPM ke sekolah.

“Selain itu pemantauan di lokasi berisiko tetap dibuat selain memberi nasihat kepada penduduk agar berwaspada dengan situasi banjir semasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini