comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru mengaji dituduh lakukan amang seksual

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang guru mengaji dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya.

Kejadian didakwa berlaku dalam bilik air di sebuah pusat mengaji di Batu Pahat, bulan lalu.

Tertuduh berusia 23 tahun yang berhadapan dua pertuduhan, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki yang masih bujang ini didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya berusia lapan tahun, pada 6.30 petang, 21 Ogos lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika mangsa bersama adik perempuan berusia enam tahun mengaji di pusat terbabit.

Ketika itu, terdapat tiga murid termasuk seorang lelaki, namun tertuduh memintanya pulang ke rumah dahulu sebelum meninggalkan dua beradik berkenaan.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke dalam bilik air yang mana ia turut disaksikan adiknya.

Bagaimanapun, tertuduh tidak membenarkan adik mangsa masuk dalam bilik air sebalik memintanya menunggu di luar.

Sewaktu di luar, adiknya terdengar suara kakaknya berkata “tak nak” dari dalam bilik air, sebelum dia keluar bersama tertuduh.

Adik mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada ibunya sambil menangis, sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, pada hari kejadian.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Yong Peng setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga prosiding selesai.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan 8 Oktober untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini