IPOH: Seorang guru maut manakala suami serta anak kecilnya masing-masing cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Kilometer 282.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Simpang Pulai di sini hari ini.Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nor Zafirah Abdullah, 33, beralamat di Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai, Johor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 12.39 tengah hari.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digegaskan ke tempat kejadian.
Katanya, kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga beranak itu masuk ke dalam longkang berdekatan bahu jalan itu sebaik ia terbabas.
“Kemalangan menyebabkan wanita berkenaan disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki (suami) serta kanak-kanak lelaki berumur dua tahun masing-masing cedera ringan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital.