Oleh Baharudin Mohamed
MELAKA: Seorang guru yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok Klinik Kesihatan Seri Tanjung, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Goh Mun Hock, 59, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Seri Tanjung disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kemalangan, manga yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah Bandaraya Melaka menghala Kem Terendak, Sungai Udang di sini.
“Ketika tiba di lokasi tiba-tiba kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke arah kiri jalan dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Seri Tanjung.
“Akibat nahas itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Christopher, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati nahas berlaku di kawasan dua lorong dan cuaca dalam keadaan baik.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
“Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.