KOTA BHARU: Seorang guru yang didakwa menggigit seorang muridnya di sebuah sekolah di Kelantan, dilaporkan masih bertugas seperti biasa.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Hassany Hashim, berkata kes itu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkaitan untuk siasatan lanjut.
![](https://media.buletintv3.my/2023/07/LCyWt2pD-BULETIN-TV3-41.jpg)
Katanya, JPN memberi kerjasama penuh berhubung siasatan isu berkenaan dan turut menyerahkan laporan berkaitan prosedur ditetapkan sejurus menerima maklumat kejadian itu.
“Baru-baru ini pihak sekolah, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid berkenaan.
“JPN masih menunggu arahan daripada KPM kerana tidak mahu menjejaskan siasatan dan pada masa sama sudah menghantar laporan kepada kementerian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2022 di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong 1 di sini, hari ini.
Sebelum ini, KPM dilapor akan menjalankan siasatan berhubung seorang murid di negeri pantai timur didakwa enggan ke sekolah kerana trauma selepas digigit guru.
Timbalan Menteri, Lim Hui Ying dilaporkan berkata, KPM mengesan satu hantaran di media sosial berhubung insiden itu dan kini mengambil tindakan selanjutnya.
Kejadian itu tular di media sosial selepas seorang ibu memuat naik hantaran termasuk dua klip video dan mendakwa anak lelakinya digigit.
Dakwa wanita berkenaan, kejadian itu bukan sahaja melibatkan anak lelakinya, tetapi beberapa murid lain turut menjadi mangsa dengan digigit di bahagian mulut, tangan, hidung dan telinga.