Tumpuan :
Nasional

Guru dan pelajar SK Kemasik diberi cuti bencana

Sebanyak 90 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.-FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 900 pelajar dan 60 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Chukai, Kemaman, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) diberi cuti bencana.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, cuti bencana itu diberikan selepas sebahagian daripada bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa bencana banjir.

Katanya, SK Kemasik dibuka sebagai PPS sejak gelombang pertama bencana banjir melanda di daerah Kemaman kelmarin (Selasa).

“Semua guru serta pelajar tahun satu hingga enam diberi cuti bencana sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.

Selain SK Kemasik, Jelani berkata, satu lagi sekolah iaitu SK Teluk Kalong turut dijadikan PPS tetapi sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana tidak menggunakan terlalu banyak kelas.

Katanya, sebanyak 90 sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini dijadikan PPS untuk menempatkan mangsa banjir.

“Setakat ini, tiada sekolah di negeri ini ditutup disebabkan ditenggelami banjir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini