KUALA LUMPUR: “Terlalu banyak isu membabitkan dua pentadbir ini (guru besar dan pentadbir kanan). Malah ada yang lebih berat daripada yang dinyatakan dalam kain rentang itu.”
Demikian luahan Sumayyah Mohd Marzuki yang mendakwa wakil ibu bapa sebuah sekolah kebangsaan di pinggir bandar Kuala Lumpur menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera ke atas guru besar dan penolong kanan sekolah berkenaan atas pelbagai tindakan mereka yang didakwa ‘zalim’, bukan sahaja kepada pelajar tetapi warga pendidiknya.
Ibu bapa sekolah katanya kecewa kerana semua aduan yang dibuat sejak tiga tahun lalu di pelbagai peringkat tidak dilayan.
Malah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama didakwa hanya berdiam diri.
Keadaan itu dakwanya menyebabkan ada ibu bapa sekolah terbabit menaikkan kain rentang bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mengenai kedua-dua.
“Kami, ibu bapa di sekolah ini sendiri terkejut apabila kain rentang itu digantung di depan sekolah sejak semalam dan tak tahu siapa yang melakukannya. Begitu juga pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan mereka yang rancang untuk menaikkan kain rentang itu. Mungkin ada ibu bapa yang mengambil tindakan sendiri kerana kecewa selepas sekian lama pelbagai isu melanda anak-anak di sini.
”Ada tiga kain rentang dinaikkan, satu daripadanya di depan sekolah. Hari ini, yang saya perasan, dua daripada kain rentang itu telah diturunkan. Kami, wakil ibu bapa bersetuju dengan bantahan yang disuarakan menerusi kain rentang itu,” katanya.
Kain rentang berkenaan yang tular di media sosial, menyatakan ketidakpuasan hati ibu bapa terhadap guru besar dan penolong kanan berkenaan yang didakwa bersifat kejam dan mendesak KPM menukarkan mereka segera.
Ibu bapa juga mendakwa pentadbir sekolah itu mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam hubungan antara warga sekolah selain kebal walaupun aduan sudah dibuat terhadap mereka.
Sumayyah berkata, ada guru mengadu tidak diberikan sokongan untuk melakukan latihan untuk pelajar yang menyertai pertandingan di luar sekolah, selain ada yang mendakwa permohonan cuti dibatalkan tanpa sebab munasabah.
“Selama ini, hubungan ibu bapa dan guru di sini amat baik, malah semua aktiviti atau bantuan yang diperlukan sekolah, kami cuba penuhi sebaik mungkin. Namun, sejak guru besar baru ini masuk ke sekolah ini, semuanya jadi terbatas dan disekat. Ia sekali gus turut memberi kesan kepada prestasi pelajar,” katanya.
Setakat ini, PIBG sekolah itu masih belum memberikan reaksi mereka berhubung isu yang dibangkitkan.