comscore
Tumpuan :
Nasional

Gurauan membawa padah – Acu pistol tiruan, 3 lelaki ditahan

Foto hiasan

KUCHING: Tiga ditahan susulan penularan klip video seorang lelaki mengacukan pistol kepada seorang lagi lelaki di dalam kereta Perodua Axia yang tersebar sejak tiga hari lalu.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 23 hingga 26 tahun ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Matang, di sini pada jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, soal siasat awal mendapati tiga lelaki itu mengaku terbabit di dalam video berkenaan dan mengaku rakaman itu hanya gurauan.

Bagaimanapun katanya, semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan.

Ahsmon berkata, suspek dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya.

Video berdurasi 13 saat yang disebar menerusi aplikasi Telegram itu memaparkan seorang lelaki mengacu pistol ke arah seorang lagi lelaki yang berada di dalam kereta di kawasan parkir di Metro City, Matang, di sini.

Ahsmon berkata, turut dirampas sepucuk pistol tiruan dan sebuah kereta Perodua Axia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini