Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pengawasan di sempadan negara khususnya antara Malaysia dan Thailand akan dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi baharu serta terkini dalam usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutama membabitkan lorong tikus.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan menjemput syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melakukan pembuktian konsep (POC) penggunaan teknologi terkini.
“Sekarang ini, kecenderungan kita untuk mengawasi jalan tikus ataupun pintu masuk rasmi kita adalah dengan menggunakan teknologi semasa.
“Kita akan tengok sehingga kita betul-betul puas hati, dalam erti kata mengawal keselamatan, sempadan termasuklah keselamatan ataupun potensi ancaman melibatkan jalan tikus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Semalam, Saifuddin Nasution menerusi jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan, sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan, dengan 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, berdasarkan kajian PGA berkaitan lorong tikus, persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Narathiwat) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 128 lorong tikus yang meliputi 46 peratus bagi keseluruhan kajian.
Mengenai cadangan pembinaan tembok kekal di sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin Nasution berkata, pembinaannya akan membabitkan kos penyelenggaraan yang besar.
“Pagar ini pertama ianya mahal dan penyelenggaraannya juga mahal. Jadi, zaman berubah, mungkin sesuai pada ketika itu,” katanya.
Pada 5 November lalu, Kerajaan Kelantan merancang untuk mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand.
Usaha itu dianggap penting untuk menangani masalah jenayah penyeludupan serta mengurangkan risiko banjir yang berulang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.