comscore
Tumpuan :
Nasional

Guna pegawai sedia ada di luar negara – CUEPACS

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan langkah meningkatkan efisiensi dalam lawatan luar negara.

Ia terrmasuk menggunakan pegawai atau wakil yang sedia ada dan bertugas di luar negara.

Presidennya Datuk Adnan Mat ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, penglibatan wakil yang ditempatkan di luar negara dapat menjimatkan kos dan memanfaatkan kepakaran yang sudah ada.

Dr Adnan mengulas pembatalan rombongan seramai 68 penjawat awam yang diaturkan ke Berlin, Jerman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau, rombongan hanya untuk menghadiri satu pameran kecil, adalah mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan sedang melaksanakan usaha penjimatan.

Malah, beliau berkata, lebih mendukacitakan ialah perkara itu sepatutnya dikendalikan pada peringkat jabatan tetapi terpaksa ditangani sendiri pula oleh Perdana Menteri.

“Sebenarnya kita boleh menggunakan medium yang telah ada di sana contoh kita ada duta, kita ada pegawai kita yang telah pun berada di negara berkenaan.

“Maknanya kita boleh link ataupun menggunakan pegawai sedia ada di sana untuk mewakili kita sebagai tujuan apa sebenarnya kita nak ke sana tu,”katanya.

Menurutnya lagi, Kementerian juga perlu memastikan pengawalan perbelanjaan dilakukan lebih ketat dan hanya pegawai yang benar-benar diperlukan sahaja boleh melakukan perjalanan luar negara.

“Dalam pada masa yang sama kita juga ada rantaian perhubungan yang begitu canggih sekarang,

“Jadi tidak perlulah kita hadir secara fizikal sehingga 68 orang kalau nak pergi pun mungkin sorang dua pegawai yang benar-benar atas tajuk atau atas program itu sahaja tanpa perlu melibatkan ramai pegawai untuk pergi ke sana,”katanya.

Menurutnya lagi, dengan pengumuman kenaikan gaji terbaru untuk anggota sektor awam, CUEPACS berharap perubahan positif dapat dilakukan terutama dalam bentuk tata kelola yang lebih baik, produktiviti, dan integriti.

Semalam Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim membatalkan permohonan 68 kakitangan menghadiri pameran kecil di Berlin.

Perdana Menteri dipetik menegaskan tiada keperluan bagi kepergian rombongan itu hanya untuk menghadiri pameran kecil, walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi semua penjawat awam berkenaan sudah disediakan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan semua lawatan agensi dan syarikat kerajaan ke luar negara kini memerlukan kelulusan daripada menteri.

Ia berikutan kebimbangan tentang keputusan yang mungkin memihak kepada kepentingan sendiri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini