comscore
Tumpuan :
Nasional

Guna nombor pendaftaran kenderaan lain kaburi mata JPJ

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

AMPANG: Menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu antara taktik licik digunakan lelaki warga asing yang memandu lori Roll On Roll Off (RORO) bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Khas Pengarah – Pemandu Warga Asing (PEWA) di Tasek Tambahan, Ampang, siang tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Erick Jusiang, hasil semakan terhadap lori RORO itu mendapati, pemandu itu mengunakan nombor pendaftaran lori lain daripada syarikat sama pada kenderaan tersebut.

Namun, helah itu berjaya dihidu pihaknya yang berjaya menahan dan menyita lori terbabit.

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, lori itu telah tamat tempoh insurans dan pemandu terbabit tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Jawapan yang diberi, dia kata dia ada dua kenderaan. Jadi kemungkinan dia nak kaburi mata kita, dia gunakan nombor kenderaan yang masih belum tamat tempoh insurans, dan tampal pada lori yang sudah tamat tempoh insuransnya.

“Jadi mungkin hari ini, nasib dia tak baik, dia jumpa kami. Macam orang kata sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Katanya, menerusi operasi itu, sebanyak 1163 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dengan 209 diambil tindakan.

“Sebanyak 424 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, salah guna lesen kenderaan motor, tiada insurans serta kesalahan teknikal.

Pihaknya juga telah menyita 78 kenderaan membabitkan 73 motosikal, sebuah kereta dan empat kenderaan barangan seperti lori.

Tambahnya, seramai 78 warga asing ditahan dalam operasi itu.

“Mereka yang ditahan adalah penjual roti bermotosikal, penjual ais krim bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk.

“Antara individu yang ditahan,16 warga Pakistan, 25 warga Myanmar, 6 warga India, 18 warga Bangladesh, 12 warga Indonesia dan seorang dari Turkiye.”

Ujarnya, pihaknya turut memberi fokus kepada motosikal yang telah diubahsuai (tambahan side car), kenderaan milik warga tempatan yang disewa dan kenderaan perdagangan seperti lori dan ‘RORO’ yang dikendalikan oleh warga asing untuk aktiviti perniagaan.

“Kami ingin menegaskan kepada semua pemilik kenderaan berdaftar agar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen dan menyalahgunakan LKM bagi tujuan perniagaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan berdaftar tersebut,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana warga asing yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan, dikenakan tindakan dibawah Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan mengubahsuai bentuk dan peralatan kenderaan pada kenderaan (kesalahan teknikal) akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 6(1) (Larangan bagi kenderaan- kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan yang tiada perlindungan insurans, tindakan dibawah Seksyen 90(1) (Pembawa kenderaan motor hendaklah diinsuranskan terhadap risiko pihak ketiga) Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikenakan,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini