Tumpuan :
Nasional

Guna jengkaut bantu orang ramai terjejas banjir

Penduduk menaiki jentera jengkaut untuk menyeberangi jalan berikutan ditenggelami air di Jalan Kuala Berang. FOTO NSTP

KUALA BERANG: Seorang lelaki sanggup menggunakan jengkaut miliknya untuk memberi bantuan kepada orang ramai di kawasan yang terjejas banjir.

Perkhidmatan secara sukarela itu dilakukan Mohd Lokman Mahmud, 44, sejak tiga tahun lalu tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Dia yang tinggal di Ajil, di sini berkata, khidmat membantu mangsa yang terjejas banjir itu dilakukan bukan hanya tertumpu di sekitar daerah Hulu Terengganu sahaja sebaliknya turut membabitkan negeri lain yang terjejas banjir.

“Beberapa hari lalu, saya ke Kedah membantu orang ramai yang terjejas banjir selain pernah ke Pahang pada 2022 dan beberapa negeri lain lagi.

“Saya buat secara sukarela dan tidak minta sebarang bayaran pun dan kalau ada yang memberi (duit), saya anggap ia adalah rezeki yang boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan minyak dan makan.

“Saya melakukan khidmat ini bersama lima rakan dan masing-masing menggunakan duit sendiri walau di mana sahaja kami pergi,” katanya.

 

Ujarnya, keinginan untuk membantu orang ramai ketika banjir tercetus selepas melihat ramai yang terjejas khususnya pekerja Hospital Hulu Terengganu yang terkandas berikutan jalan dari Ajil ke Kuala Berang dinaiki air.

“Sejak itu, saya menggunakan jengkaut milik saya untuk mengangkut mereka (pekerja hospital) dan orang ramai yang menyeberangi jalan di kawasan ini.

“Saya melakukan kerja sukarela ini bermula jam 7 pagi hingga ke tengah malam dan sekiranya ada yang meminta bantuan selepas waktu, saya sedia membantu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini